Awal pagi saya dah hantar sms buat Laila dan suami untuk ucapkan kebahagiaan mereka. Kegembiraan dan kebahagiaan mereka juga kebahagiaan ayah dan ibunya.
Sunday, May 31, 2009
12th Wedding Anniversary
Awal pagi saya dah hantar sms buat Laila dan suami untuk ucapkan kebahagiaan mereka. Kegembiraan dan kebahagiaan mereka juga kebahagiaan ayah dan ibunya.
Saturday, May 23, 2009
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (7)
POLITIK KAMPUNG
Kampung Pulo Hilir pada awal tahun kemerdekaan, dari segi fahaman politik penduduknya, merupakan penyokong kuat Parti Negara Sarawak (PANAS), sebuah parti politik pimpinan Allahyarham Datu Bandar Abang Haji Mustapha, ayahanda kepada Dato’ Abang Haji Abu bakar, mantan menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia. Lencana PANAS bercitrakan kepala rusa.
Suatu malam pihak parti lawan, Parti Berjasa mengadakan kempen di rumah salah seorang penduduk kampong Pulo Hilir, Kuching. Banyak sekali orang ternama Sarawak yang hadir untuk berkempen. Yang paling saya ingati, ikut sama berucap malam itu ialah Mantan Mufti negeri Sarawak Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan.
Penduduk kampong ramai sekali datang hadir untuk mendengar kempen politik Parti Berjasa itu. Suasana malam terasa panas. Panas kerana mereka yang hadir mula berteriak dan mengganggu ucapan. Saya dan teman-teman(ketika itu usia saya sekitar sepuluh atau sebelas tahun) ikut serta bersama orang ramai berlari ke sana ke mari sambil mendengar orang kampung berteriak dengan bahasa yang agak kesat.
Yang paling saya ingat ketika itu, seorang pemidato berkata-kata begini,
“Tuan-tuan dan puan, saya harap saudara-saudara boleh bertenang…”
Selepas ucapan itu saya terdengar teriakan orang ramai, begini kata-kata mereka, yang boleh saya ingati,
“ Air tenang jangan disangka tiada berbuaya”
Begitulah keadaannya seluruh malam. Setiap ucapan akan mendapat kutukan dan teriakan…ah cukup bersemangat sekali. Saya ingat waktu itu diadakan pilihanraya tempatan, kalau tak silap…Dan saya masih lagi mengingati peristiwa itu.
Tak lama kemudian, tak ingat mungkin beberapa bulan selepas itu, pihak jabatan Penerangan datang ke kampung kami untuk membuat tayangan filem. (Memang satu kebiasaan Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung seberang hilir mengadakan tayangan filem.) Salah seorang jiran kami bertugas sebagai projectionist iaitu allahyarham ayahanda Ayu bin Suut. Malam itu mereka menggunakan rumah keluarga saya tempat meletakkan projektor dan layar putih diletak di kawasan rumah kami.
Tahun enam puluhan tidak banyak hiburan di kampng. Jika ada tayangan gambar seperti ini, orang kampung akan keluar beramai-ramai untuk menonton bersama ahli keluarga. Antara filem yang ditayang biasanya cerita-cerita kartun untuk hiburan anak-anak dan juga filem Inggeris atau Melayu.
Sebelum tayangan filem biasanya akan ada tayangan-tayangan selingan. Tayangan selingan inilah objektif sebenar jabatan Penerangan. Antara yang ditayangkan termasuklah lawatan pembesar Negara, pembangunan di negeri-negeri semenanjung Malaysia (atau Malaya ketika itu). Ikut ditayangkan wajah Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia melambai-lambai kea rah orang ramai dari pentas yang dihiasi dengan poster perahu layar. Perahu Layar? Bukankah perahu layar itu parti lawan kampung kami. Mengapa pula Tunku berada di pentas parti Perahu layar. Begitulah pemikiran yang bermain di kepala saya. Ini membuat saya berfikir panjang, mengapa kami tidak sehaluan dengan Kerajaan Malaysia. Apakah Parti Negara Sarawak sebuah parti pembangkang seperti juga parti SUPP.
Ya, benar, kanak-kanak ketika itu sudah ada pemikiran tentang politik di minda mereka. Anak-anak Melayu di kampong saya ketika itu cekap sekali berbicara tentang politik kepartian. Kesian jiran-jiran yang menyokong parti Berjasa ketika itu, dipinggirkan sedikit sebanyak.
Begitulah sedikit sebanyak cebisan masa lalu untuk ingatan diri pada masa akan datang. Cukup sukar sekali kehidupan di kampung ketika itu. Akahir tulisan biar saya tinggalkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Martin Luther King,Jr., katanya
Cowardice asks the question, ‘Is it safe?’ Expediency asks question, Is it politic?’ But conscience asks the question, ‘Is it right?’ And there comes the time when one must take a position that is neither safe, nor politic, nor popular but because conscience tells one it is right.’
Sunday, March 22, 2009
KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO(6)
Apabila teringat akan zaman kanak-kanak, kita pasti akan tersenyum mengenang setiap detik yang kita lalui. Zaman kanak-kanak merupakan zaman keemasan kehidupan kita dan ia tak akan kembali lagi. Zaman untuk keseronokan dan kegembiraan itu sudah pun berlalu dan diganti dengan zaman remaja, dewasa dan tua.
Pernahkah teman-teman terfikir kembali, setiap hari yang dilalui semasa zaman kanak-kanak kita? Bagi saya, keseronokan bermain dengan teman-teman masih saya ingati sehingga hari ini. Keseronokan ketika berenang di sungai
Kami akan mendaki pohon pedada atau api-api dan akan terjun dengan pelbagai cara. Setiap hari adalah pesta mandi-manda. Setelah penat bermain di darat kami ke sungai menghilangkan panas badan.
Begitulah secarik ingatan semasa masih kanak-kanak. Anak-anak sekarang tidak lagi perlu berenang di sungai kerana abah akan bawa mereka ke kolam renang. Ia lebih selesa dan selamat. Cara berenang pun diajar dengan tertib dan baik, tidak seperti dulu.
Sesekali terasa juga keinginan untuk mengembalikan pengalaman dan nostalgia, tetapi bila difikirkan kembali, hati membisik, biarkan zaman kanak-kanak kita itu tinggal sebagai memori yang akan kekal indah dalam kenangan. Saya tinggalkan teman dengan kata-kata hikmat yang saya kutip untuk tatapan semua:
Good people are good because they've come to wisdom through failure. We get very little wisdom from success, you know. …..William Saroyan
Friday, February 20, 2009
LUMBA KUDA
Tahun 1961 saya berada di dalam tahun satu di Lumba Kuda Council School. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan padang Lumba Kuda, Kuching. Hari ini, di tapak padang lumba kuda itu, berdiri indah bangunan Majlis bandaraya Kuching Selatan yang mempunyai bentuk seperti Tokong Siam/Pagoda.
Saya bersekolah waktu tengah hari. Bila sampai ke sekolah masih ada masa terluang kerana kelas pagi masih berjalan sehingga jam 12.30 tengah hari. Waktu luang begitu saya dan teman-teman sekelas akan memerhati gelagat pelajar-pelajar senior (mungkin tahun 3 agaknya).
Antara aktiviti pelajar ketika itu ialah berlari dalam satu perlumbaan antara mereka. Mereka akan berlari di padang di hadapan sekolah yang bertanah putih kekuningan berbatu kecil. Tanah agak keras dan berdebu ketika hari panas dan akan bertukar menjadi becak bila hujan.
Perlumbaan pelajar-pelajr ini bukan perlumbaan biasa. Mereka namakan perlumbaan ini Lumba Kuda. rasanya tentu pengaruh lumba kuda di sebelah sekolah kami. Untuk perlumbaan ini setiap pasukan terdiri daripada dua orang pelajar, seorang pelajar senior (bertindak sebagai Joki) dan seorang pelajar tahun satu (sebagai kuda)
Caranya pelajar senior akan memegang baju di belakang tengkuk pelajar tahun satu dan kedua-dua mereka akan berlari dengan pelajar tahun satu di hadapan, baju dipegang kukuh oleh joki. Saya cukup seronok melihat perlumbaan ini. Ia menjadi satu kemestian saya memerhati mereka berlumba.
Di dalam hati saya terdetik perasaan ingin ikut berlumba tapi tidak pula saya diajak oleh pelajar senior. Mungkin kerana saya terlalu pendiam dan tidak banyak berkawan atau mungkin saiz badan yang agak kerdil.
Suatu hari, ketika memerhati perlumbaaan yang hendak bermula, dalam keadaan panas mentari yang menggigit kulit, seorang senior datang kepada saya dan mengajak saya menjadi kuda beliau untuk perlumbaan seterusnya. Apa lagi saya kegembiraan dan di hati saya berkata, saya pasti menang perlumbaan ini.
Apabila perlumbaan bermula saya berlari tapi tolakan oleh joki saya terlalu kuat sehingga saya tersembam ke hadapan. Tapak tangan dan lutut saya berdarah akibat bergeseran dengan batu-batu kecil. Perlumbaan baru saja bermula dan kami kalah sebelum sampai ke garisan penamat. Saya menangis terisak isak menahan kesakitan. Saya tidak ingat sama ada senior ada memujuk saya, tapi yang jelas itulah kali pertama dan terakhir saya mengikuti lumba kuda itu.
Ah, sesekali teringat peristiwa itu, saya senyum sendiri.
Thursday, February 19, 2009
SEDEKAD PENUH BERKAT
Kehadiran Nurul sebagai pengobat rinduku pada cucuku yang pertama, Faiz Sanim. Faiz lahir bulan Mac 1998 di Miri ketika anakku Laila masih bersama kami. Kemudian mereka berpindah ke Sungai Petani setelah bersama kami selama lebih kurang enam bulan. Bayangkan betapa kerinduanku pada Faiz setelah perpisahan itu. Tapi akyu tidak pula melahirkan rasa rindu itu. Ia hanya kurasai jauh di lubukj hati.
Allah maha berkuasa dan mengerti kedukaanku lantas enam bulan selepas Faiz ke SP kami dikurniakan cahaya mata dengan kelahiran Nurul untuk menghilangkan kerinduan kami terhadap Faiz.
Hari ini hari ulang tahun kelahiran Nurul Hakimah yang kesepuluh. Nurul semakin dewasa dan dibebani oleh karenah enam orang anak saudaranya. Kadang-kadang timbul rasa kasihan pada Nurul yang terpaksa melayan tingkah laku anak saudara yang terus-terusan memanggil Mak Su. Ayah dan Ibu hanya mengharapkan kebahagian dan kesejahteraan Nurul, membesar dengan penuh keindahan dan kemanisan hidup, belajar menerima dan menempuh masa muka dengan berani dan bertanggungjawab. Rasanya ingin benar kami melihat Nurul cepat-cepat dewasa. Tak sabar kami menanti saat Nurul menjadi seorang yang sudah dewasa.
Nurul Hakimah, selamat hari jadi sayang.
Saturday, January 17, 2009
BANJIR
Minggu lepas kami di Kpg Tunku sama-sama merasai kehadiran banjir . Banjir datang membawa kemusnahan harta benda. Tapi saya tetap berpandangan baik bahawa banjir datang sebagai mengingati kita tentang kuasa Allah.
Banjir yang hadir menjadi satu pesta bagi anak-anak yang jarang melihat kehadirannya. Saya kesihan dengan menantu yang tak boleh balik ke Betong kerana Jalan Serian - Sri Aman terputus.Foto-foto banjir saya pamerkan untuk tatapan teman-teman..
Wednesday, January 7, 2009
Bermula 2009
Dania akan mula belajar di Tadika Kemas di Kpg Tunku. Fatinah pula akan bersama kakaknya, Kamalia di Tadika Hikmah. Juju akan belajar di SK RPR dalam darjah satu bersama abangnya, Faiz, 10, yang akan berada di dalam Tahun 5.Nurul akan meneruskan sekolahnya di SK Datuk haji Abdul Kadir Hassan dalam Tahun 4.Seronok datuk melihat cucu-cucu ke sekolah. Tiada yang menangis setakat ini. Jam 100 nanti, ibunya akan mengambil mereka dari Tadika.
petangnya aku dan isteri ke Lapanagan terbang Kuching menghantar Khairul yang akan ke KL. Khairul di pindah kerja ke KL mulai hari ini. Khairul menjejaki adik-adik yg sudah berada di Semenanjung. CT di Shah Alam manakala Fadli di Pasir Gudang. Ah.. mengapa perpisahan sering berlaku? Mungkin perpisahan itu perlu dalam kehidupan. Kita perlu berlatih berpisah.Apa yang kuharapkan perubahan beginiakan sentiasa membawa kepada kebaikan jua. Begitu harapanku.
Berbicara tentang perubahan mengingatkan aku pada mutiara kata yang kukutip dari sebuah laman di alam maya. Biar kuakhiri catatan ringkas ini dengan memaparkan mutiara kata itu:
"LIFE CAN EITHER BE ACCEPTED OR CHANGED. IF IT IS NOT ACCEPTED IT MUST BE CHANGED. IF IT CANNOT BE CHANGED, THEN IT MUST BE ACCEPTED"
